Saturday, January 1, 2011

Bermuhasabah bukan hanya di Tahun Baru



Tahun 2010 telah melabuhkan tirainya. Ianya meninggalkan 1001 kenangan kepada setiap individu yang telah melaluinya.

Ada kenangan yang gembira untuk dikongsikan sepanjang lembaran 2010, dan tidak terlepas juga kenangan-kenangan yang tidak enak untuk didengar dan dikongsikan. Segalanya telah dijadikan sejarah yang pastinya akan dikenang sebagai sejarah yang baik mahupun sejarah yang buruk yang mewarnai lembaran 2010 yang akan berlalu.


Bermulanya tahun 2011, maka setiap individu akan memulakan perancangan-perancangan yang baru buat diri mereka untuk melengkapkan jadual setahun yang akan datang datang.


Ada yang merancang untuk memperbaiki kehidupan yang telah lalu, dan tidak kurang juga yang telah berpuas hati dengan kehidupan yang telah dilaluinya. Soal ibadah, soal rumahtangga, perniagaan, harta-benda, kerjaya,pergaulan, dan sebagainya pastinya menjadi agenda tahunan untuk dilengkapkan sebagai jadual yang akan mengisi kalendar tahun 2011.


Bagi sesetengah golongan pula, mereka mengatakan bahawa tahun baru ini adalah tahun untuk bermuhasabah amalan dan kehidupan yang telah lepas.


Dalam erti kata lain, tahun baru dijadikan sandaran untuk melihat kembali amalan setahun yang telah lalu.


Soalnya,benarkah begitu?


Muhasabah sepanjang waktu

Soal bermuhasabah dan menginsafi diri merupakan soal yang besar dalam Islam.Allah S.W.T amat menghendaki agar umat-Nya sentiasa memuhasabah dan memperbaiki diri serta bertaubat daripada segala keburukan yang telah dilakukan.Allah S.W.T berfirman di dalam surah al-Syams ayat ke 9 dan 10 yang bermaksud:

“Sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu. Dan Sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya”.


Nabi S.A.W bersabda yang bermaksud:

“Setiap Bani Adam itu melakukan kesalahan, dan sebaik-baik orang yang melakukan kesalahan adalah mereka yang bertaubat”

Golongan yang berjaya adalah mereka yang sentiasa bermuhasabah diri tidak mengira tempat dan waktu. Sekiranya kita hanya menjadikan waktu tahun baru untuk bermuhasabah, maka kehidupan umat Islam tidak akan mengalami peningkatan.

Soalnya, mampukah kita sebagai manusia yang sentiasa melakukan kesalahan, mengumpul muhasabah hanya tahun baru. Tidakkah itu akan merugikan kita kerana setiap tahun pastinya masalah akan terus berlaku sedangkan kita menunggu tahun baru untuk bermuhasabah dan menilai kesilapan diri sendiri.

Apa yang pasti, kematian tentunya tidak menunggu kita untuk bersedia menghadapinya. Bahkan, jika tiba waktunya, ianya pasti akan menjemput kita. Maka, sentiasa bersedia dengan muhasabah dan menginsafi diri sendiri sebelum ajal tiba.

Saidina Umar Al-Khattab berkata:

“Hisablah diri kamu sebelum kamu dihisab (segala amalan)”

Maka, umat Islam harus mengubah persepsi bahawa muhasabah diri itu hanyalah apabila tibanya tahun baru. Tetapi, jadikan setiap hari dalam kehidupan kita sebagai waktu untuk menilai sejauh mana malan yang telah kita lakukan pada hari tersebut bermula kita bangun tidur sehingga kita tidur kembali.

Bermuhasabahlah dengan Amal Makruf dan Nahi Mungkar.

Selain hari 31 ogos, Valentine day ,dan sebagainya, tahun baru juga merupakan waktu yang begitu sesuai untuk melakukan tugas amal makruf dan nahi mungkar. Sesetengah golongan akan mensasarkan waktu-waktu sebegini untuk membendung gejala sosial serta maksiat daripada terus mencacatkan lembaran tahun baru tersebut.

Kebiasaannya, muda-mudi akan berkumpul bersama-sama untuk merayakan sambutan ini dengan gaya yang tersendiri.Konsert, nyanyian, aktiviti bebas yang kadangkala bertentangan dengan agama, serta pakaian yang menyakitkan mata melihatnya adalah antara pengisian yang boleh dilihat pada tahun baru.

Teguran, risalah-risalah, artikel-artikel terpilih dijadikan bahan untuk memberi kesedaran kepada mereka-mereka yang menyambut tahun baru dengan cara yang salah.Sebenarnya, amal makruf dan nahi mungkar tidak keterlaluan jika dikatakan sebagai medium muhasabah yang utama untuk umat Islam.

Firman Allah S.W.T di dalam surah Ali-Imran ayat 104 yang bermaksud:

“Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah dari yang munkar; merekalah orang-orang yang beruntung”.


Al-Allamah Saiid Hawwa menyebutkan di dalam kitabnya “Al-Mustakhlas Fi Tazkiyatil Anfus” bahawa di antara salah satu cara untuk bermuhasabah dan menyucikan jiwa adalah dengan Amal Makruf dan Nahi Munkar.

Satu perkara yang harus kita sedari mutakhir ini, Malaysia sebagai sebuah negara yang menjadikan Islam sebagai agama rasminya, mencacatkan peratusan kes-kes jenayah yang begitu membimbangkan.

Berdasarkan kepada statistik, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) melaporkan terdapat lebih 257,000 sijil kelahiran didaftarkan tanpa catatan nama bapa, sejak tahun 2000 hingga pada bulan Julai 2008.

Ini bermakna secara purata, 2,500 kes anak luar nikah direkodkan pada setiap bulan atau 83.3 kes pada setiap hari. Jika diunjurkan lagi, satu kes pendaftaran anak luar nikah berlaku dalam setiap 17 minit 17 saat!Amat menyedihkan kerana menurut statistik pendaftaran kelahiran kelahiran anak luar nikah dalam tempoh 4 tahun sahaja (1999-2003) 30,978 dari 70,430 (44%) orang bayi tidak sah taraf yang dilahirkan adalah anak orang ISLAM.


Pecahan mengikut negeri:

Selangor = 12,836 orang

Perak = 9,788 orang


Kuala Lumpur = 9,439 orang


Johor = 8,920 orang


Sabah = 8,435 orang


Negeri Sembilan = 4,108 orang


Pahang = 3,677 orang


Kedah = 3,496 orang


Pulau Pinang = 3,412 orang


Melaka = 2,707 orang


Kelantan = 1730 orang


Perlis = 691 orang


Sarawak = 617 orang


Terengganu = 574 orang


JUMLAH = 70,430 orang.


70, 430 adalah satu jumlah yang sangat menakutkan bagi umat Islam di Malaysia!


Bagi kes jenayah rogol umpamanya, Malaysia dicatatakan sebagai Negara yang mendapat tempat yang ke38 dengan peratusan 0.0505156 daripada 1000 orang. Tidakkah ini memalukan!


Jelasnya, sekiranya usaha Amal Makruf dan nahi Mungkar tidak dilakukan dengan bersungguh-sungguh, maka usah kita terkejut jika dalam tempoh 10-20 tahun lagi, Malaysia mungkin akan berada di ranking 10 tertinggi yang mendominasi masalah Hisbah dalam Negara kita!


Peringatan buat muda-mudi


1. Buat muda-mudi, usahlah kalian cacatkan dan cemari kehadiran tahun baru dengan aktiviti-aktiviti yang bertentangan dengan Agama Islam.


2.sSentiasalah menginsafi diri dan bermuhasabah pada setiap waktu dan ketika.


3. Jadikan tahun baru sebagai tahun untuk meningkatkan potensi diri, serta menjadi Muslim yang terbaik.


4. Sertai dan anjurkan program-program yang boleh membina jiwa seperti membaca al-Quran, tazkirah, ceramah agama, lagu-lagu nasyid Islamik dan sebagainya.


5. Ingatkan bahawa diri kalian amat diperlukan sebagai pemimpin Negara pada masa akan datang. Jika kalian telah rosak, maka ianya adalah cerminan kepada rosaknya negara pada masa hadapan.


6. Jauhilah maksiat dan elakkan percampuran di antara lelaki dan perempuan yang tidak mengikut syariat apabila kalian ingin menyambut tahun baru.


7. Tegakkan islam dalam jiwa kalian, nescaya islam akan tertegak dalam masyarakat dan negara.


8. Akhirnya, buktikan bahawa kalian mampu untuk menjadikan tahun baru sebagai tahun kebangkitan identiti dan integriti!.


Akhirnya, artikel sederhana ini diakhiri dengan sebuah peringatan Nabi S.A.W untuk muhasabah kita bersama :


Ada seorang yang berdiri menuju Nabi S.A.W ketika baginda berada di atas mimbar, maka beliau berkata: “Wahai Rasulullah, manusia yang bagaimanakah yang paling baik?” Lalu baginda bersabda: “Sebaik-baik manusia, adalah mereka yang paling banyak menghafal al-Quran, yang paling takwa, yang paling bearamal Makruf dan Nahi Mungkar, dan yang paling menyambung hubungan kekeluargaan”- H.R. Ahmad dan Al-Tabrani.


Wallahu’alam..


Oleh : Ibnu Sikh Nawawi

No comments: