Monday, December 12, 2011

OPS Tahun Baru 2012:Operasi Hisbah Terus Giat Dijalankan


Kaherah, 12 Disember 2011 : Satu perjumpaan di antara Unit Operasi Hisbah Pusat dan cawangan telah diadakan semalam di rumah Pulau Pinang, Hayyu Sabi’e pada jam 1.00 petang. Ia bertujuan bagi membincangkan berkenaan kes-kes yang telah berlaku melibatkan mahasiswa-mahasiswi yang berada di Mesir. Dalam pertemuan tersebut. beberapa laporan telah dikemukakan daripada setiap BKAN dan DPM. Turut hadir, Ustazah Nurul Hasanah binti Yahuza , Naib Pengerusi HEWI II merangkap Ketua Unit Dakwah dan Pembangunan Insan HEWI PMRAM 2011, Pengarah Hisbah dan Timbalan Pengarah II Hisbah PMRAM 2011.



Menurut Ustaz Mohammad Adlly, Ketua Unit Operasi Pusat, dalam tempoh sekarang, terdapat banyak kes yang dilaporkan melibatkan mahasiswa dan warga tempatan. Antara kes yang kerap berlaku ialah rompakan, peras ugut, gangguan seksual dan cubaan culik.


Faktor utama kes-kes berkenaan semakin meningkat adalah disebabkan keadaan politik Mesir yang kurang stabil dan penguatkuasaan yang lemah dari pihak keselamatan. Oleh yang demikian, pihak Unit Operasi Hisbah akan sentiasa menjalankan rondaan bagi memastikan keadaan mahasiswa/mahasiswi terjaga. Budaya keluar malam tanpa musyrif terutamanya di peringkat mahasiswi mestilah dibendung bagi mengelakkan berlakunya perkara-perkara yang tidak diingini. Oleh yang demikian, pihak mahasiswa/mahasiswi digesa supaya mematuhi pekeliling keselamatan yang telah dikeluarkan oleh pihak Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK) dan PMRAM.


Pada akhir pertemuan tersebut, Ustazah Nurul Hasanah turut mengingatkan kepada semua ahli jawatankuasa unit operasi supaya sentiasa melaksanakan tugas hisbah dengan baik walaupun musim peperiksaan bakal bermula. Ini kerana tugas hisbah merupakan satu tuntutan mulia dan jika dilaksanakan dengan ikhlas maka akan mendapat ganjaran di sisi Allah S.W.T. Selain itu, beliau menegaskan bahawa tugas hisbah bukan sahaja terpundak di bahu mereka yang mempunyai jawatan, bahkan ianya merupakan tanggungjawab bersama. Ini kerana tujuan utama manusia di ciptakan oleh Allah di muka bumi adalah untuk melaksanakan perintah Allah, termasuk menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.

"HISBAH TANGGUNGJAWAB BERSAMA"