Sunday, September 18, 2011

Peranan : Tuntutan & Pelaksanaan HISBAH


PERANAN HISBAH : TUNTUTAN DAN PELAKSANAAN HISBAH

Hisbah adalah tututan syarak berpandukan kepada ayat-ayat al-Quran dan as-Sunnah nabawiyyah. Semua ayat-ayat al-Quran yang menyentuh soal amar makruf dan nahi mungkar.merupakan dalil bahawa hisbah disyariatkan dan dituntut oleh syarak.

Al-Quran sebenarnya mengetengahkan soal hisbah dalam pelbagai bentuk. Kadangkala dalam bentuk perintah dan kadangkala dengan cara menjadikan hisbah ini sebagai sifat wajib bagi seorang mukmin atau sebagai faktor yang membawa kebaikan umat Islam.

Al-Quran juga meletakkan matlamat untuk memperolehi kuasa dan pemerintahan di muka bumi ini ialah untuk menjalankan amar makruf dan nahi mungkar. Mengabaikan soal ini menjadi punca manusia menerima laknat Allah SWT. Firman Allah SWT bermaksud:

“Dan hendaklah ada di kalangan kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya”.

Surah Ali ‘Imran, ayat :104

Dan firman Allah SWT yang lain bermaksud:

“Dan orang-orang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan dan melarang daripada berbuat kejahatan”.

Surah Taubah, ayat :71

Hisbah atau amar makruf dan nahi mungkar, boleh dilihat dari dua sudut iaitu dari sudut tuntutan dan sudut perlaksaannya:

1.Sudut tuntutan: Hisbah merupakan fardhu kifayah di mana jika ada sebahagian umat Islam telah melaksanakannya bermakna umat Islam yang lain terlepas daripada menanggung dosa. Namun jika tiada seorangpun yang melaksakannya bermakna semua umat Islam yang berkemampuan akan menanngung dosa. Walau bagaimanapun, hisbah menjadi fardhu ain bagi individu yang dilantik untuk melaksanakan tugas ini. Bagi muslim yang tidak wajib melaksanakannya, hisbah menjadi sunat. Malah dalam keadaan tertentu hisbah boleh m,enjadi haram.

2.Sudut perlaksanaan: Hisbah ini sendiri menurut sesetengah ulamak adalah wajib atau sunat bergantung kepada perkara yang disabitkan dengannya. Jika perkara tersebut membabitkan perkara yang wajib atau perkara haram, hisbah ketika itu adalah wajib sama ada fardhu ain atau fatdhu kifayah. Jika perkara tersebut membabitkan perkara sunat, ketika itu adalah sunat. Sesetengah ulamak pula menyatakan hisbah adalah wajib dalam semua perkara.

Hisbah mempunyai peranan yang amat besar dalam Islam kerana hisbah bertujuan menyuruh manusia melakukan kebaikan dan melarang manusia melakukan kejahatan. Peranan ini merupakan salah satu sifat utama Rasulullah SAW sebagaimana yang dinyatakan firman Allah SWT yang bermaksud:

“Ia menyuruh mereka dengan perkara-perkara yang baik dan melarang mereka daripada melakukan perkara-perkara yang keji”.

Surah Al-A’raf, ayat: 157

Hikmah di sebalik perlaksanaan hisbah amat jelas kerana apa sahaja yang berkaitan dengan dakwah Islamiyah merupakan sebahagian daripada apa yang dimaksudkan dengan amar makruf dan nahi mungkar. Selain itu, hisbah bukan sahaja akan dapat menyelamatkan manusia daripada azab Allah malah akan menyebabkan Allah menurunkan rahmatNya. Dengan kata lain, dosa adalah suatu cara mendidik, menghukum atau menghapuskan mereka. Allah SWT telah berfirman yang bermaksud:

“Dan apa juayang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (daripada perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa); dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar daripada dosa-dosakamu”.

Surah As-Shura, ayat: 30

Jadi kekukufuran, kefasikan dan kemaksiatan adalah punca segala musibah atau malapetaka. Mungkin hanya seorang atau segelintir sahaja yang melakukan dosa ini, namun oleh kerana masyarakat hanya berdiam diri tidak menyuruh mereka melakukan kebaikan atau melarang mereka daripada melakukan kemungkaran, masyarakat ini juga berdosa dan patut menerima musibah. Sebuah hadith Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Apabila manusia melihat sesuatu kemungkaran tetapi tidak cuba mengubahnya nescaya Allah akan azabkan mereka semua kerana kemungkaran itu”.

Menderhakai Allah adalah punca segala musibah dan azab sementara mentaati Allah adalah punca manusia memperolehi nikmat, kesenangan dan keredhaan Allah. Ini adalah sunnah Allah dan firman Allah yang bermaksud:

“Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu”.

Surah Ibrahim, ayat: 7

Sumber :
Kitab Usul Dakwah, Dr Abdul Karim Zaidan.


No comments: