Saturday, August 27, 2011

Kearah Merakyatkan HISBAH

Segala puji bagi Allah, tuhan sekalian alam. Selawat dan salam buat junjungan mulia nabi
besar Muhammad S.A.W,para sahabat, alim-ulamak seterusnya pejuang-pejuang penyambung mata rantai perjuangan islam seluruhnya.

Bersyukur kita kehadrat Allah Azzawajalla kerana dengan limpah inayahNya kita dipanjangkan
umur dikekalkannikmat iman dan islam dalam menjadikan kehidupan kita seluruhnya sebagai individu muslim.
Amar Ma’ruf Nahi Mungkar adalah suatu usaha yang paling mulia, tinggi kedudukannya, sangat dititikberatkan didalam Islam. Ianya mesti dilaksanakan agar manusia sentiasa berada di atas landasan yang betul dan tidak menyimpang dari jalan yang sebenarnya. Lantaran itu HISBAH PMRAM di tubuhkan supaya dapat mebimbing hati manusia agar bergerak di dalam kerangka perlembagaan Islam iaitu "amal ma'ruf nahi mungkar".

Bagi meneruskan kesinambungan usul muktamar PMRAM sebelum ini. HISBAH PMRAM pada tahun ini menggariskan beberapa matlamat yang ingin di capai antaranya:

1- Merakyatkan HISBAH
Matlamat ini bertujuan memberi kesedaran kepada seluruh mahasiswa bahawa peranan HISBAH bukan terpundak dibahu pimpinan semata-mata. Malah gerak kerja ini merupakan "gerak kerja rakyat" yang memerlukan sokongan dan dokongan dari semua pihak samada pimpinan, ahli, pegawai, mahupun pihak berwajib.

2- Meningkatkan mutu kefahaman dan penghayatan Islam
Demi memperlihatkan kelangsungan biah yang murni. Aspek ini perlu di titik beratkan agar mahasiswa bukan semata-mata berlumba membuat kebaikan sehingga mengabaikan keperluan pembanterasan perkara mungkar. Kedua elemen ini hendaklah berjalan selari dan seiringan dengantuntutan Allah S.W.T dalam surah Ali Imran, ayat ke-104 yang bermaksud:

“Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak Yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat Segalaperkara Yang baik, serta melarang daripada Segala Yang salah (buruk dan keji). dan mereka Yang bersifat demikian ialah orang-orang Yang Berjaya”.

3- Menuju keselamatan dan mendapat keredhaan Allah
Memainkan peranan dalam mengawal serta memantau keselamatan mahasiswa dalam kerangka yang wajar bagi mengurangkan kes-kes keselamatan yang saban hari meningkat dan membimbangkan. Selain mewujudkan suasana yang mendapat redha Allah selari dengan keberadaan kita di bumi yang penuh barakah ini.

Sebagai renungan bersama. Mungkar adalah sesuatu perkara atau perbuatan yang tidak disukai dan diingkari hati nurani atau jiwa manusia. Ia bermaksud kejahatan, kederhakaan kepada Allah SWT atau perbuatan yang dibenci syarak. Maaruf pula berasal dari istilah ma’rifah adalah segala sesuatu yang disukai oleh hati dan apabila melakukannya ia membawa kepada ketenteraman dan kedamaian hati serta diredha Allah SWT.

Sifat orang mukmin ialah mengerjakan yang maaruf dan pada masa sama meninggal yang mungkar. Kewajipan melaksanakan amal maaruf nahi mungkar adalah satu kewajipan yang telah dipikulkan kepada umat Islam. Amal maaruf nahi mungkar adalah bersifat mencegah iaitu mencegah berlakunya mungkar (kejahatan) secara terbuka. Ia dorongan kepada manusia untuk membangkitkan iman dalam hati supaya manusia menjauhi apa juga bentuk kemungkaran. Dalam usaha mulia ini kekuatan rohani manusia dibangunkan agar terarah dan suka kepada yang maaruf dan membenci kemungkaran dikembangkan melalui kekuatan iman dan taqwa.

Sebagai kesimpulan, usaha menarik manusia kepada "amal ma'ruf nahi mungkar" bukannya kerja yang senang kerana ia penuh dengan ujian serta memerlukan pengorbanan dan komitmen cukup tinggi. Kedua elemen ini mestilah selari bagi melayakkan kita di gelar "khaira Ummah".

Justeru, usaha ini perlu dilakukan dengan bijaksana dan berhikmah menepati apa yang terkandung dalam al-Quran dan Sunnah. Mudahan matlamat untuk "merakyatkan HISBAH" mendapat sokongan dari seluruh PMRAM cawangan serta pihak berwajib demi demi melahirkan mahasiswa yang hebat akademiknya serta terpuji akhlaknya.

" Kearah Merakyatkan HISBAH"
Jamal Najmuddin Bin Sulaiman
HISBAH PMRAM 2011

No comments: